Jika sebelum kita ada mendengar beberapa artis veteran
menyuarakan pendapat mengenai seorang pelakon perlu ada bakat dari rupa.
Salah satunya adalah pelakon dan penyanyi veteran, Fauziah Ahmad Daud
yang berkata, industri hari ini perlukan bakat seseorang yang tulen dan
bakat itu akan digilap sehingga ia berharga, bukan kerana rupa.
Berbeza dengan kenyataan rakan seperjuangannya, Faizal Hussein
yang berpendapat setiap pelakon memerlukan raut wajah yang menarik
selain daripada mempunyai bakat. Menurut kenyataan menerusi laporan di Utusan Online, dia berkata asas lakonan boleh ditingkatkan sekiranya ada kesungguhan untuk mendalaminya.
“Saya berpendapat, untuk bergelar artis terutama
pelakon setiap mereka perlu memiliki raut wajah yang cantik atau pun
kacak, ia sejajar dengan apa yang diminta oleh pihak pengiklanan Setiap
drama mahupun filem yang disiarkan memerlukan pengiklan, jadi bagaimana
mahu menarik iklan sekiranya pelakon-pelakon dalam drama itu sendiri
tidak memiliki wajah yang sesuai untuk bergelar artis,” katanya kepada
Utusan Online.
Faizal berkata, dia sendiri mengaku lakonan awalnya dalam Gila-gila Remaja agak kaku namun setelah dia cuba belajar dan memperbaiki bakat lakonan, lama kelamaan lakonannya menjadi baik.
Foto: Astro Awani
Kenyataan Faizal ini telah mengingatkan kembali teguran yang dibuat
oleh Penerbit terkenal, Datuk A. Aida suatu masa dahulu. Dalam satu
kenyataannya di Astro Awani,
Aida dengan beraninya pernah menegur pelakon baharu yang tidak memiliki
rupa yang cantik dan kacak untuk tidak membuang masa menghadiri uji
bakat.
Dalam masa sama, Aida berkata, beliau tidak berniat untuk menghina
mana-mana pelakon baharu yang tidak memiliki rupa yang cantik dan kacak.
Sebaliknya, beliau berkata, pandangan yang dikongsinya adalah
berteraskan senario semasa semata-mata.